Thursday, November 14, 2013

Dewan Rakyat 14 November 2013

Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ] 14 Nov 2013

a. Pertanyaan bagi jawab lisan
1. Datuk Haji Datu Nasrun bin Datu Mansur [ Silam ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berkenaan keputusan yang telah dibuat oleh ESSCOM untuk merobohkan kawasan perkampungan atas air di Parlimen Silam, adakah Kerajaan telah mengkaji kesan terhadap perubahan demografi yang akan berlaku di kawasan Bandar, terutamanya golongan Bumiputera yang akan dipindahkan dari kawasan bandar ke kawasan pedalaman.

2. Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary [ Bachok ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah alasan subsidi baja padi disekat kepada penanam padi di Mukim-mukim dalam parlimen Bachok. Apakah pemantauan dibuat oleh Kerajaan terhadap penghulu, pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen, Pejabat Pertubuhan Peladang dan mana-mana pegawai yang menyalah guna kuasa dalam pemberian subsidi baja padi.

3. Dato' Hasbullah bin Osman [ Gerik ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan sebab-sebab berlakunya kesesakan trafik di KLIA pada 23 dan 25 Ogos 2013 dan apakah punca serta tindakan DCA untuk mengatasi masalah ini.

4. Dato' Kamarul Baharin bin Abbas [ Telok Kemang ] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan adakah Kementerian berhasrat untuk memberi pertimbangan sekiranya ada pihak atau korporat yang menawarkan untuk mengambil alih Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

5. Tuan Rozman bin Isli [ Labuan ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan:-
(a) mengapakah permit import dan eksport bahan makanan di bawah Akta Binatang 1953 diperlukan untuk kemasukan ke Labuan dari Sabah yang dikuatkuasakan oleh pejabat MAQIS Wilayah Persekutuan Labuan sehingga banyak diperkatakan mengganggu kelancaran dan meningkatkan kos; dan
(b) bolehkah ianya dikecualikan untuk pergerakan antara Sabah dan Labuan memandangkan saiz Labuan yang kecil dan banyak bergantung kepada Sabah untuk bekalan bahan berkaitan.

6. Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan berapakah jumlah hutang yang perlu dibayar oleh peminjam PTPTN dan senaraikan nama yang disenarai hitamkan oleh PTPTN.

7. Datuk Juslie bin Ajirol [ Libaran ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sejak memperkenalkan keterbukaan mendapat pandangan dan idea dalam kalangan rakyat sebelum pembentangan bajet di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, nyatakan berapa jumlah pandangan dan idea yang telah diguna pakai dan menepati kehendak pembangunan ekonomi negara dan keperluan rakyat semasa.

8. Dr. Haji Izani bin Haji Husin [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bagaimanakah Kerajaan ingin meningkatkan produktiviti, integriti serta imej positif jabatan-jabatan penguatkuasaan seperti jabatan Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah agar ianya dihormati dan dihargai rakyat .

9. Dato' Seri Ong Ka Chuan [ Tanjong Malim ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan apakah langkah dan kaedah yang berkesan dalam mengendalikan pengaliran trafik untuk mengelakkan kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan dalam musim perayaan dan percutian.

10. Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [ Sepang ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan berapakah jumlah kampung Orang Asli yang ada di kawasan Parlimen Sepang dan jumlah penduduk orang asli keseluruhan di Sepang mengikut pecahan agama.

11. Dato Sri Dr. Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah [ Mukah ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan berapakah koperasi yang telah diluluskan di Sarawak pada 2011 hingga 2013.

12. Tuan Gobind Singh Deo [ Puchong ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan kesediaan Kementerian untuk membincangkan secara terbuka dan telus kontrak dan nyatakan serta memberikan butiran terperinci pembinaan lebuh raya baru yang melalui kawasan Parlimen Puchong serta kos yang akan dibiayai pengguna jalan di Puchong.

Soalan MP PAS yang disenaraikan:
18. Tuan Haji Nasrudin bin Hassan [ Temerloh ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan statistik guru-guru yang berdepan dengan masalah disiplin dari tahun 2010 hingga Jun 2013.

24. Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan bagaimana Kementerian memantau dan menilai keberkesanan pengajaran J-QAF di sekolah.

30. Puan Siti Zailah binti Mohd Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan usaha untuk memperkasakan keberkesanan peranan PBT yang kawasan liputannya terlalu luas dan melebihi dari satu parlimen. Bilakah kerajaan akan mewujudkan satu parlimen satu PBT dengan kerjasama kerajaan negeri di seluruh negara.

37. Dato' Haji Mahfuz bin Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah aktiviti Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) yang telah dilancar oleh YAB. Perdana Menteri ketika LIMA 2011.

38. Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta PERDANA MENTERI menyatakan usaha-usaha reformasi institusi Parlimen supaya mencapai tahap Parlimen bertaraf dunia.

40. Dr. Che Rosli bin Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan mulai tahun 2010 sehingga 2013 dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk menyediakan prasarana yang mencukupi.

b. Perbahasan Rang Undang-undang dan Usul-Usul
1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:
BAHAWA pada Selasa,12 November 2013, Yang Berhormat N. Surendran, Ahli Parlimen Kawasan Padang Serai telah mengeluarkan suatu kenyataan semasa sidang media di lobi Parlimen yang telah disiarkan di dalam beberapa media. Kenyataan itu merupakan satu tuduhan ke atas Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana menolak usul Yang Berhormat berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) pada 12 November 2013. Tuduhan itu menyatakan Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat antara lain memberikan fakta yang “complete and utter lies” (fakta yang tidak benar) dan Yang Berhormat Padang Serai juga membuat tuduhan bahawa Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah “Speaker yang bias”.

DAN BAHAWA tuduhan-tuduhan itu adalah merupakan satu penghinaan kepada Tuan Yang di-Pertua yang menjalankan tugas sebagai Pengerusi Dewan ini dan demikian bererti penghinaan juga kepada Dewan Rakyat yang turut mencemarkan nama baik dan prestij Dewan Rakyat.

MAKA INILAH DIPERSETUJUI BAHAWA Yang Berhormat N. Surendran, Ahli Parlimen Kawasan Padang Serai hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat selama enam (6) bulan dari
tarikh keputusan usul ini diluluskan.

2. Pertimbangan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 (D.R.21/2013) dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2014 seperti berikut:-

“Bahawa Dewan ini, mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari empat puluh enam bilion empat ratus sembilan puluh sembilan juta sembilan ratus sembilan puluh sembilan ribu ringgit (RM46,499,999,000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2014, dan bagi tujuan dan butiran perbelanjaan pembangunan yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014, yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 42 Tahun 2013, adalah diuntukkan di bawah Maksud-maksud yang berkenaan jumlah-jumlah yang bersetentangan dengan butiran-butiran itu di ruangan enam dan tujuh senarai tersebut.” Dalam Jawatankuasa Sebuah-buah Majlis (14 November, 2013)