Monday, July 8, 2013

Dewan Rakyat 8 Julai 2013 (Isnin)

Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ] 8 Julai 2013

a. Pertanyaan bagi jawab lisan
1. Tuan Liang Teck Meng [ Simpang Renggam ] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan bilakah mekanisme "Fuel Cost Pass-Through" akan dilaksanakan oleh TNB dalam usaha mencerminkan keadaan sebenar kos bahan api.

2. Dato' Ngeh Koo Ham [ Beruas ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan sama ada peruntukan hampir RM27 juta untuk tempat pelupusan sampah Sungai Wangi, Manjung, Perak hanya untuk membina satu menara sampah atau masih ada kerja-kerja lain yang belum dibuat dan apakah langkah-langkah lain diambil untuk mengatasi masalah baki sampah di tempat pelupusan tersebut.

3. Datuk Haji Datu Nasrun bin Datu Mansur [ Silam ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan adakah Kerajaan sedar pada tahun 2011 Kerajaan Pusat telah mengarahkan kajian fisibiliti (feasibility study) dilaksanakan tentang pembinaan sebuah lapangan terbang baru di Lahad Datu dengan perbelanjaan RM10 juta. Kerajaan Negeri Sabah telah menyediakan tapak untuk tujuan pembinaan lapangan terbang berkenaan di kawasan Silabukan, seluas lebih kurang 800 ekar. Apakah hasil dan keputusan kajian berkenaan dan mengapakah hasil kajian itu tidak didedahkan kepada umum.

4. Tuan Sim Tong Him [ Kota Melaka ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan tentang tahap keselamatan dan kesihatan di kem-kem PLKN:-
(a) jumlah kes kehilangan barangan peserta-peserta dalam kem, jumlah kes pecah masuk kem oleh orang luar dan berapa banyak kes gaduh antara peserta telah dilaporkan; dan
(b) jumlah peserta yang dijangkiti oleh virus dan apakah puncanya.

5. Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub [ Machang ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan apakah usaha yang akan diambil oleh Kerajaan selain langkah-langkah yang telah diambil oleh FAM dalam melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti seterusnya dapat membantu memartabatkan mutu bola sepak negara.

6. Dr. Che Rosli bin Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA menyatakan :-
(a) apakah langkah Kerajaan untuk meningkatkan kadar celik komputer di kalangan masyarakat luar bandar; dan
(b) bagaimanakah jurang perbezaan ini antara masyarakat bandar dan luar bandar.

7. Tuan Haji Mohd Fasiah bin Haji Mohd Fakeh [ Sabak Bernam ] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah-langkah Kerajaan supaya individu yang diisytihar muflis dan disenarai hitam oleh institusi kewangan diberi peluang kedua keluar dari kemelut kebangkrapan melalui pelepasan automatik selepas tempoh tertentu.

8. Tuan Fong Kui Lun [ Bukit Bintang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan kedudukan pengedaran wang haram yang mengalir dalam negara yang mana penggurup wang haram memain peranan melakukan transit dalam negara dan langkah-langkah yang diambil untuk membendungnya.

9. Dato' Henry Sum Agong [ Lawas ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan bilakah Kedai Rakyat 1 Malaysia diwujudkan di Lawas.

10. Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan status projek Hub Pendidikan di Pagoh yang telah dilancarkan pada 2012 iaitu konsepnya, siapa kontraktor yang dilantik dan berapakah kos pembinaannya.

11. Dato' Wira Othman bin Abdul [ Pendang ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan bilakah projek Hospital Daerah Pendang akan diteruskan memandangkan projek ini telah lebih 15 tahun tergendala. Bolehkah Kementerian memberikan sebab-sebab kelewatannya.

12. Tuan Zairil Khir Johari [ Bukit Bendera ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan hasil “Program 1 Pelajar 1 Laptop” dan perbezaannya dengan program Chromebook yang baru diumumkan, serta berapakah kos program Chromebook, bilakah pelaksanaannya, jumlah pelajar yang terlibat dan siapakah pembekalnya.

Soalan MP PAS yang disenaraikan:
16. Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary [ Bachok ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan tarikh diluluskan, tarikh mula dan tarikh dijangka siap projek pembinaan Hospital Bachok. Apakah kesan buruk kepada rakyat akibat kelewatan pembinaan tersebut.

38. Dato' Haji Mahfuz bin Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan hasil rumusan dan cadangan dari kajian ke atas Projek High Speed Rail (Projek HSR) yang telah disiapkan oleh Mickensey & Company Konsultan yang dilantik oleh Kerajaan, nyatakan kos pembangunan, jarak, jajaran, masa perjalanan, kelajuan purata serta teknologi dan sistem kereta api berkelajuan tinggi yang bakal digunakan.

47. Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan kos terkini dan faktor kelewatan menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur.

50. Tuan Idris bin Haji Ahmad [ Bukit Gantang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah plan Kerajaan untuk menjelaskan hutang negara yang semakin bertambah.

51. Tuan Wan Hasan bin Mohd Ramli [ Dungun ] minta PERDANA MENTERI menyatakan tindakan yang telah diambil untuk memenuhi keperluan asas Generasi Kedua FELDA.

57. Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah status sebenar lawatan YAB Perdana Menteri ke Gaza, Palestin, pada bulan Januari 2013 yang lalu, sama ada lawatan sosial (kemanusiaan) atau lawatan rasmi Kerajaan dan apakah hasil daripada lawatan tersebut.

62. Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan usaha membersihkan Sabah daripada kebanjiran pendatang Filipina yang boleh menggugat keselamatan negara.

68. Dato' Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan :-
(a) langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu FAM meningkatkan mutu bola sepak negara yang kini menduduki 'ranking' FIFA melebihi tangga ke-100 dunia, sedangkan pada masa dahulu Malaysia adalah antara Gergasi Bola sepak terutamanya di benua Asia, malahan pernah dua kali melayakkan diri dalam acara bola sepak di Temasya Sukan Olimpik; dan
(b) langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu membendung gejala rasuah yang diterajui oleh 'bookies' dalam sukan terutamanya bola sepak di negara ini, yang bukan sahaja menjejaskan mutu bola sepak negara malahan boleh menjejaskan imej negara terutama dari segi Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index).

74. Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [ Kuala Krai ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan jalan-jalan kampung yang akan dinaiktarafkan bagi tahun 2013 di Parlimen Kuala Krai.

75. Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan status terkini projek perumahan sakit dan tergendala dan tindakan ke atas pemaju yang gagal "deliver" rumah kepada pembeli. Apakah tahap perlaksanaan konsep/polisi bina dan jual (build and sell) industri perumahan di negara kita.

79. Puan Siti Zailah binti Mohd Yusoff [ Rantau Panjang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah kos yang telah digunakan oleh Kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya ke-13 yang lalu.

b. RANG UNDANG-UNDANG KERAJAAN UNTUK BACAAN KALI YANG PERTAMA
1. Menteri Kewangan * Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013

c. USUL-USUL DAN RANG UNDANG-UNDANG BACAAN KALI KEDUA
1. Usul dibuat oleh Yang Berhormat Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [ Lenggong ] dan masalah dicadangkan :-
“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:- 
“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Pertama, Parlimen Yang Ketiga Belas.” Menyambung semula Perbahasan atas masalah (4 Julai, 2013) 

2. (D.R. 1/2013) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 [ Menteri di Jabatan Perdana Menteri ]