Wednesday, July 10, 2013

Dewan Rakyat 10 Julai 2013 (Rabu)

Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ] 10 Julai 2013

a. Pertanyaan bagi jawab lisan
1. Datuk Seri Panglima Haji Abdul Ghapur bin Haji Salleh [ Kalabakan ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan ;-
(a) bilakah jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah akan mula dibina seperti mana yang dijanjikansemasa Pilihan raya ke-13 lalu; dan
(b) berapakah kos pembinaannya dan apakah kaedah pembiayaan serta kaedah perlantikan kontraktor dan pelaksanaannya.

2. Tuan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh [ Sandakan ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan adakah Kerajaan bersedia untuk memansuhkan dasar Kabotaj, memandangkan ia merupakan satu sebab utama harga barangan di Sabah lebih mahal berbanding dengan Semenanjung Malaysia.

3. Dato' Wira Mohd Johari bin Baharom [ Kubang Pasu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah Kerajaan bercadang mewujudkan kembali Kementerian Pembangunan Usahawan kerana agensi-agensi berkaitan seperti SME Corp, Bank Pembangunan, SME Bank, PUNB, PNS, MARA, UDA, TERAJU, TEKUN NASIONAL, AIM dan MDV adalah untuk membantu usahawan Bumiputera. Jika tidak, apakah Kerajaan yakin agensi-agensi berkenaan yang tidak disatukan di bawah satu bumbung dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan jayanya terutamanya memastikan Wawasan 2020 tercapai.

4. Tuan Julian Tan Kok Ping [ Stampin ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah wujudnya rancangan konkrit bagi menaik-taraf sistem saluran air (drainage) terutamanya di kawasan Kampung Stampin Baru dan Jalan Stakan di kawasan Parlimen Stampin, Kuching. Jika ada, minta nyatakan rancangan tersebut secara terperinci.

5. Dato’ Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [ Tanah Merah ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah tindakan serta perancangan PDRM dalam usaha mencegah jenayah yang begitu merbahaya kebelakangan ini. Apakah akan ada rombakan di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri serta Ketua Bahagian Siasatan
Jenayah Daerah di IPD.

6. Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [ Pasir Mas ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan apakah program-program yang telah dilaksanakan serta hasil yang telah diperolehi dalam memberikan ruang yang lebih kondusif kepada golongan belia untuk mengekspresikan idea yang bermanfaat.

7. Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad [ Lipis ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah pelan tindakan Kementerian memastikan tahap pendidikan dari semua peringkat, khususnya pendidikan tinggi, akan terus berada ditahap yang tinggi. Adakah Kementerian telah melakukan Benchmarking Exercise dengan mana-mana istitusi pengajian luar negara untuk memastikan kualiti pendidikan negara terus efektif dan berdaya saing.

8. Dr. Azman bin Ismail [ Kuala Kedah ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan pendirian Kementerian tentang lemak trans. Lemak trans telah terbukti sebagai salah satu punca utama penyakit kardiovaskular dan penyakit-penyakit moden yang lain. Kenapa lemak trans tidak diharamkan.

9. Tuan Haji Shabudin bin Yahaya [ Tasek Gelugor ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN menyatakan berapakah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia telah diwujudkan sehingga kini dan sejauh manakah program ini berkesan dalam membantu rakyat.

10. Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan :-
(a) rasional penghapusan jaminan kerja bagi graduan perguruan lulusan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA); dan
(b) perancangan jangka panjang untuk graduan ini sekiranya tidak ditempatkan di mana-mana sekolah.

11. Tuan Haji Hasbi bin Haji Habibollah [ Limbang ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan bilakah Kerajaan akan menyiapkan projek Jalan Meritam/Telahak/Bong Abai Fasa 2 kerana tidak ada aktiviti kerja di tapak dijalankan sekian lama.

12. Dato' Mohd Ariff Sabri bin Abdul Aziz [ Raub ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bagaimana untuk menyelesaikan kebimbangan yang timbul dari pembukaan dan operasi Lombong Emas Raub Australian Gold Mine yang menggunakan cyanide di Bukit Koman, Raub.

Soalan MP PAS yang disenaraikan:
14. Tuan Haji Nasrudin bin Hassan [ Temerloh ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan peratus tenaga kerja berpendidikan tertiari di Malaysia bagi tempoh 2010 hingga 2012.

34. Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali [ Kuala Nerus ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik jenayah minum arak, judi, bunuh, rompak, zina dan khalwat mengikut negeri dari tahun 2009 hingga 2012.

47. Dato' Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan masih berhasrat mengekalkan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (JPPK) yang telah diwujudkan sejak Kerajaan Negeri Kelantan diambil alih pemerintahannya oleh PAS daripada Barisan Nasional pada tahun 1990.

49. Dr. Che Rosli bin Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan :-
(a) berapakah jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan oleh Kerajaan bagi menampung kos operasi satelit Razaksat.; dan
(b) bagaimana Kerajaan mengukur dan memantau sama ada tahap kegunaan satelit Razaksat tersebut berada di tahap yang optimum.

53. Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah bentuk sumbangan Kerajaan Malaysia terhadap Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) dan hala tuju sebenar penubuhan yayasan tersebut.

61. Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan status pembinaan Hospital Shah Alam serta berapakah kos keseluruhannya setelah ditender kembali.

62. Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary [ Bachok ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan peratus ubatan yang digunakan di hospital menggunakan ubatan generik (generic). Adakah pihak Kerajaan sedar keberkesanannya kurang memuaskan.

67. Dato' Kamarudin bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk menzahirkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagaimana yang wujud di hampir semua badan legislatif di seluruh dunia.

b. USUL-USUL DAN RANG UNDANG-UNDANG BACAAN KALI KEDUA
1. Usul dibuat oleh Yang Berhormat Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [ Lenggong ] dan masalah dicadangkan :-
“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:- 
“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Pertama, Parlimen Yang Ketiga Belas.” Menyambung semula Perbahasan atas masalah (8 Julai, 2013)

2. Menteri Kewangan akan mencadangkan:- 
“BAHAWASANYA, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan penyusunan semula beberapa Kementerian berkuat kuasa 16 Mei 2013 seperti berikut : 
(a) Fungsi-fungsi dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan dengan Kementerian Pelajaran yang kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan; 
(b) Fungsi-fungsi dan agensi-agensi berkaitan kebudayaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dipindahkan ke Kementerian Pelancongan yang kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan;dan 
(c) Fungsi-fungsi dan agensi-agensi kesejahteraan bandar di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang kini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dipindahkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kini dikenali sebagai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

DAN BAHAWASANYA- 
(i) perbelanjaan pengurusan bagi maksud-maksud yang melibatkan Kementerian yang disusun semula itu telah diperuntukkan melalui Akta Perbekalan 2013 [Akta A1446];  
(ii) amaun yang belum dibelanjakan yang berhubungan dengan Kementeriankementerian yang peruntukan untuknya perlu dikurangkan itu telah disekat melalui waran yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan di bawah perenggan 13(3)(b) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]; 
(iii) perbelanjaan pmbangunan bagi maksud-maksud yang melibatkan Kementerian-kementerian yang disusun semula telah diluluskan oleh Dewan ini dan diperuntukaan bagi maksud-maksud seperti yang dinyatakan di bawah Maksud Pembangunan atau (“P”) dalam senarai Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013; 
(iv) amaun yang belum dibelanjakan yang berhubungan dengan Kementerian-kementerian yang peruntukan untuknya perlu dikurangkan itu telah disekat melalui waran yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan di bawah seksyen 8 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406]; 
(v) bagi Kementerian-kementerian yang disusun semula itu, perlu dibuat penguntukan semula peruntukan perbelanjaan pengurusan dan pembangunannya berikutan dengan penyusunan semula fungsifungsinya; dan 
(vi) menurut Peraturan Majlis Mesyuarat 66A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, tertakluk kepada suatu Rang Undang-undang Perbekalan yang telah diluluskan mengikut Peraturan Mesyuarat 66, mana-mana penguntukan semula peruntukan perbelanjaan boleh dibuat melalui suatu usul oleh seorang Menteri, MAKA, OLEH YANG DEMIKIAN, DEWAN INI, membuat ketetapan seperti berikut: 

1. Berkaitan dengan Perbelanjaan Mengurus- 
(a) membenarkan pemindahan sejumlah wang tidak melebihi lima bilion lapan ratus tiga puluh enam juta sembilan ratus tujuh puluh lima ribu sembilan ratus empat puluh tujuh ringgit (RM5,836,975,947) di bawah Maksud B.49 Kementerian Pengajian Tinggi kepada Maksud B.41 Kementerian Pendidikan; 
(b) membenarkan pemindahan sejumlah wang tidak melebihi dua ratus empat puluh dua juta tiga ratus tujuh belas ribu seratus dua puluh tiga ringgit (RM242,317,123) di bawah Maksud B.47 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kepada Maksud B.31 Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; dan 
(c) membenarkan pemindahan sejumlah wang tidak melebihi tujuh juta enam ratus lima puluh empat ribu lapan ratus tiga puluh empat ringgit (RM7,654,834) di bawah Maksud B.32 Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kepada Maksud B.43 Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

2. Berkaitan dengan Perbelanjaan Pembangunan- 
(a) membenarkan pemindahan sejumlah wang tidak melebihi satu bilion sembilan ratus tujuh puluh lima juta seratus tujuh puluh satu ribu tiga ratus tujuh puluh satu ringgit (RM1,975,171,371) di bawah Maksud P.49 Kementerian Pengajian Tinggi kepada Maksud P.41 Kementerian Pendidikan; 
(b) membenarkan pemindahan sejumlah wang tidak melebihi enam puluh empat juta tiga ratus empat puluh ribu lapan ratus enam puluh ringgit (RM64,340,860) di bawah Maksud P.32 Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kepada Maksud P.43 Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; dan 
(c) membenarkan pemindahan sejumlah wang tidak melebihi lima puluh tujuh juta tiga puluh ribu tiga ratus lapan puluh lima ringgit (RM57,030,385) di bawah Maksud P.47 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kepada Maksud P.31 Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.” 

3. (D.R. 4/2013) Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) 2013 [ Menteri Kewangan ] DAN Menteri Kewangan akan mencadangkan:- 

“Bahawa Dewan ini mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan bahawa jumlah wang tambahan sebanyak lima ratus tiga belas juta empat ratus enam puluh sembilan ribu lima ratus enam puluh ringgit (RM513,469,560) diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun kewangan 2012 bagi Maksud dan Butiran (Projek) seperti yang dinyatakan dalam ruang pertama dan kedua penyata Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama, 2012 yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 18 Tahun 2013 dan yang disenaraikan di sebelah Maksud dan Butiran (Projek) dalam ruang sembilan dan sepuluh penyata tersebut.”