Thursday, July 4, 2013

Dewan Rakyat 4 Julai 2013 (Khamis)

Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ] 4 Julai 2013

a. Pertanyaan bagi jawab lisan
1. Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Musa [ Ketereh ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan langkah jangka panjang yang dicadangkan oleh Kerajaan bagi memastikan bekalan air ke sawah padi di kawasan Rancangan Pengairan Kemubu (KADA) tidak akan terjejas akibat 'pumping system' yang sentiasa gagal berfungsi kerana paras air Sg Kelantan sering berada di bawah paras yang diperlukan. 

2. Tuan Teo Kok Seong [ Rasah ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan langkah atau tindakan yang telah diambil oleh Kementerian tersebut terhadap tapak pelupusan sisa toksik, Pusat Kualiti Alam di Bukit Nenas, Negeri Sembilan yang dipercayai akan menjejaskan kesihatan penduduk sekitar serta menyebabkan pencemaran alam sekitar yang serius. 

3. Datuk Bung Moktar bin Radin [ Kinabatangan ] minta MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA menyatakan sekiranya tindakan sewajarnya telah dikenalpasti terhadap beberapa blog yang didapati menggunakan bahasa yang berbaur hasutan dan fitnah yang melampau sehingga boleh menimbulkan keadaan huru-hara serta mengganggu-gugat kestabilan politik Negara. 

4. Dr. Ong Kian Ming [ Serdang ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan status pembinaan 'exit' MEX di Seri Kembangan termasuk jumlah kos projek ini, kadar tol yang akan dikenakan dan tarikh projek ini dijangka disiapkan. 

5. Tuan Haji Mohd Fasiah bin Haji Mohd Fakeh [ Sabak Bernam ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan sejauh manakah kawalan keselamatan di perairan pantai Timur Sabah bagi memastikan negara tidak mudah dicerobohi oleh anasir luar seperti yang dilakukan oleh tentera Kesultanan Sulu dan apakah langkah-langkah Kerajaan bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang. 

6. Puan Hajah Fuziah binti Salleh [ Kuantan ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sama ada wujud perancangan untuk memanggil semula panel antarabangsa International Atomic Energy Agency (IAEA) ke Kuantan untuk mengkaji kesan (impact) pemprosesan loji Lynas di Gebeng, ke atas alam sekitar setelah ia mula beroperasi menggunakan lesen sementara TOL. 

7. Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [ Lenggong ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan : 
(a) sumber-sumber pendapatan negara mengikut kategori dan jumlahnya bagi tahun 2012 dan suku pertama 2013; dan
(b) apakah strategi dan langkah Kerajaan bagi meningkatkan pendapatan negara. 

8. Tuan Hee Loy Sian [ Petaling Jaya Selatan ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah hakisan tanah di projek pembangunan di Bukit Gasing sebelah Kuala Lumpur oleh Pemaju Gasing Meridian Sdn. Bhd. 

9. Datuk Raime bin Unggi [ Tenom ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan :-
(a) sejauh manakah sasaran pembangunan belia dan sukan menyediakan kemudahan latihan untuk belia bagi melengkapkan mereka menjadi aset penting dalam pembangunan negara; dan
(b) apakah usaha untuk memperkukuhkan aspek kejurulatihan, kemahiran pengadilan serta penyediaan kemudahan sukan bagi melahirkan generasi atlet yang akan mengharumkan nama negeri dan negara. 

10. Tuan William Leong Jee Keen [ Selayang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan tindakan yang diambil dalam mengawal selia aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram. 

11. Tuan Haji Shabudin bin Yahaya [ Tasek Gelugor ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sama ada Kerajaan mempunyai cadangan untuk mewajibkan semua kakitangan Awam di negara ini megikuti Kursus Ketatanegaraan sebagai syarat kenaikan pangkat.

12. Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz [ Pasir Mas ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan bagaimana sokongan pihak Kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan sektor swasta dalam memastikan keseimbangan pembangunan kemudahan sukan dan penyelenggaraannya.

Soalan MP PAS yang disenaraikan:
24. Tuan Ahmad Marzuk bin Shaary [ Bachok ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan status kemajuan pembinaan lebuh raya baru Kuala Lipis-Gua Musang. Berapakah jumlah kenderaan yang melalui jalan sedia ada dan jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

30. Tuan Haji Nasrudin bin Hassan [ Temerloh ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah bidang-bidang kurikulum terbaru yang telah diperkenalkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi awam sejak tahun 2010 hingga 2012.

48. Dato' Kamarudin bin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah keputusan terkini laluan baru keretapi ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan bilakah pembinaan akan bermula.

50. Tuan Mohamed Hanipa bin Maidin [ Sepang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
(a) berapakah kos keseluruhan yang dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan dakwat yang digunakan ke atas jari pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu; dan
(b) syarikat manakah yang diberi kontrak untuk menyediakan dakwat tersebut. 

65. Dato' Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan bagi menyediakan blue-print pelestarian mesra alam bandar-bandar bersesuaian dengan usaha menghijaukan negara. 

71. Puan Siti Zailah binti Mohd Yusoff [ Rantau Panjang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapa Suruhanjaya Pilihanraya tidak diletakkan di bawah Parlimen bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya SPR lebih telus dan adil.

73. Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah yang akan diambil bagi memberi legitimasi kepada Kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia. 

74. Tuan Wan Hasan bin Mohd Ramli [ Dungun ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan status MRSM Dungun dan sejauh mana pengoperasian projek berkenaan telah dijalankan. 

81. Dato' Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN menyatakan kenapakah Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan Kompleks Kebudayaan Negeri Kelantan yang terletak di atas Tanah Kerajaan 
Negeri di Tanjong Chat, Kota Bharu, sedangkan persefahaman awalnya kompleks tersebut adalah untuk "Guna Sama" bagi segala kegiatan kebudayaan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

84. Dr. Hajah Siti Mariah binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan kenapa pihak Kementerian enggan membawa kembali Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. 

85. Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad [Shah Alam] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah sikap Kerajaan Persekutuan terhadap peranan SPR dalam soal menentukan daftar pengundi yang bersih.

b. USUL-USUL DAN RANG UNDANG-UNDANG BACAAN KALI KEDUA
1. Usul dibuat oleh Yang Berhormat Dato' Shamsul Anuar bin Haji Nasarah [ Lenggong ] dan masalah dicadangkan :-
“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:- 
“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Pertama, Parlimen Yang Ketiga Belas.” Menyambung semula Perbahasan atas masalah (3 Julai, 2013) 

2. (D.R. 1/2013) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 [ Menteri di Jabatan Perdana Menteri ]