Tuesday, March 27, 2012

Dewan Rakyat 27 Mac 2012 (Selasa)

Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ]
a. Doa
b. Pertanyaan bagi jawab lisan
1. Datuk Mohd Nasir bin Ibrahim Fikri [ Kuala Nerus ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan berapakah nisbah guru kaunselor berbanding dengan jumlah murid di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah kebangsaan. 

2. Tuan Lim Guan Eng [ Bagan ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sebab Kerajaan melepaskan bekas CEO Petronas, Tan Sri Hassan Merican sehingga beliau diberikan jawatan oleh syarikat Singapura dan sama ada kehilangannya merupakan suatu tamparan ke atas usaha menarik balik hampir 2 juta orang berbakat yang meninggalkan Malaysia sejak Merdeka. Berapa ramai orang yang ditarik balik ke Malaysia sejak Talent Corp. ditubuhkan dan nyatakan kos yang telah dibelanjakan. 

3. Dato' Haji Ismail Bin Haji Mohamed Said [ Kuala Krau ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan sejauh mana kerjasama di antara Kementerian dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan agar visa pelajar-pelajar luar negara tidak disalah gunakan dan setakat ini berapakah tangkapan serta tindakan undang-undang yang telah dibuat terhadap pelajar yang menyalahgunakan visa mengikut warganegara masing-masing. 

4. Dr. Mujahid bin Haji Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan apakah status peruntukan menaiktaraf Hospital Parit Buntar yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 Januari 2012 yang lalu semasa Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan. Berapakah peruntukan dan bilakah projek naik taraf hospital ini akan dilaksanakan. 

5. Dato' Seri Dr. Abdullah bin Md. Zin [ Besut ] minta MENTERI PELANCONGAN menyatakan statistik peningkatan kemasukan para pelancong asing ke negara ini sejak tahun 2010-2011 dan lokasi-lokasi yang mempunyai daya penarik serta tumpuan utama para pelancong berkenaan sepanjang berada di sini.

6. Tuan Mohd. Abdul Wahid bin Endut [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bilakah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menggunapakai sebanyak RM873.4 juta duit "Dana Khas Terengganu" untuk membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara akan membayar balik duit tersebut kepada Kerajaan Terengganu.

7. Datuk Sapawi bin Haji Ahmad [ Sipitang ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan berapa banyak syarikat penerbangan luar negara yang berminat mengadakan penerbangan terus ke Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak, berdasarkan kepada polisi langit terbuka Kerajaan, dan apakah kriteria untuk memberi kelulusan kepada mereka. 

8. Tuan Abdullah Sani bin Abdul Hamid [ Kuala Langat ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan bilakah pindaan Akta PERKESO boleh dilakukan supaya sesuai dengan keadaan semasa. 

9. Datuk Siringan bin Gubat [ Ranau ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan setakat mana tahap pelaksanaan projek bekalan elektrik mengikut peratusan di Kawasan N.29 Kundasang dan N.31 Paginatan. Penduduk luar bandar sudah mempersoalkan sama ada syarikat-syarikat yang melaksanakannya dapat menyiapkan projek tersebut mengikut masa yang ditetapkan. 

10. Tuan Liew Chin Tong [ Bukit Bendera ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kelayakan akademik untuk perlantikan guru-guru di sekolah- sekolah rendah, sekolah- sekolah menengah, Tingkatan 6/matrikulasi dan laporan purata keputusan akademik mereka. 

11. Dato' Haji Tajuddin bin Abdul Rahman [ Pasir Salak ] minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan tentang beberapa kes-kes masalah sosial yang timbul disebabkan oleh perbuatan pelajar-pelajar asing yang belajar di kolej-kolej swasta.

12. Puan Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI
PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah program Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia pada makanan import seperti daging, hasil pertanian dan makanan yang masih tinggi kadar importnya.


Soalan MP PAS yang disenaraikan:
14. Dato' Taib Azamudden bin Md Taib [ Baling ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan bagaimanakah perkembangan modul pengajian baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperkenal pada tahun 2011.

20. Dato' Haji Wan Abd Rahim bin Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan adakah Lebuh Raya Pantai Timur akan dibina sehingga ke Kota Bharu, Kelantan.

24. Tuan Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan apakah tahap penyiapan makmal komputer di sekolah-sekolah seluruh negara, berapa jumlahnya dan berapakah kos pembinaannya.

32. Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [ Jerai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai ke semua peruntukan segera yang diluluskan sepanjang tempoh Januari - Mac 2012 semasa lawatan rasmi YAB. Perdana Menteri dan YAB. Timbalan Perdana Menteri ke negeri-negeri.

38. Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad [ Kuala Selangor ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimanakah Khazanah Nasional telah mendakwa membuat keuntungan dengan menjual kepada DRB-Hicom pada harga RM5.50 sesaham sementara ketika Khazanah membeli dari PETRONAS dengan harga RM8.00 sesaham.

48. Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [ Padang Terap ] minta PERDANA MENTERI menyatakan pendekatan terkini yang dilakukan oleh FELDA dalam isu Kadar Perahan Gred (KPG) sawit bagi memastikan KPG berada di paras sekurang-kurangnya 23 peratus.

72. Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimana mekanisme perlaksanaan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) dan apakah perlaksanaannya benar-benar mematuhi syari'ah.

c. RANG UNDANG-UNDANG KERAJAAN UNTUK BACAAN KALI YANG PERTAMA 
1. Menteri Kewangan * Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012.

d. Usul-Usul dan Rang Undang-Undang Bacaan Kali Kedua
1. Usul dibuat oleh Yang Berhormat Dato' Lilah bin Yasin (Jempol) dan masalah dicadangkan:-
“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:-
“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Kelima, Parlimen Yang Kedua Belas.” Menyambung semula Perbahasan atas masalah (26 Mac, 2012)

2. (D.R. 44/2011) Rang Undang-undang Pembayaran dan Adjukasi Industri Pembinaan 2011
[ Kementerian Kerja Raya ]

3. (D.R. 1/2012) Rang Undang-undang Pengantaraan 2012 [ Menteri di Jabatan Perdana Menteri ]

4. (D.R. 2/2012) Rang Undang-undang Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2012 [ Kementerian Pengangkutan ]

5. (D.R. 37/2009) Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009 [ Kementerian Kewangan ]