Saturday, March 14, 2015

YB DS Zahid minta pembangkang akur undang-undang anti keganasan


(ParliamentNews) - Pemimpin pembangkang perlu akur dan menerima undang-undang anti keganasan kerana ia tidak digubal bagi menyekat kebebasan bersuara, apatah lagi menyekat hak asasi manusia, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri dalam negeri itu berkata, pembangkang perlu sedar kepentingan penggubalan undang-undang tersebut bagi mencegah aktiviti keganasan terutama kegiatan militan.
Katanya, ia bukan bersifat politik sepertimana didakwa mereka merujuk kepada Rang Undang-Undang Anti Keganasan atau Prevention of Terrorism Act (Pota) yang dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada sesi ini.
“Semua ahli Parlimen pihak pembangkang perlu menerima dan menyokong, kerana ia bukan menyekat hak kebebasan bersuara dan menyekat hak asasi manusia, ia untuk pencegahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah bertitah usaha berterusan perlu untuk memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya menangani pengganas di Sabah dan membendung penularan fahaman ekstremis agama melalui penglibatan dalam kegiatan militan Negara Islam (IS).
Zahid berkata sebelum ini, akta baharu itu bertujuan mencegah berlakunya sesuatu keganasan dan membolehkan tindakan diambil atas anggota IS rakyat Malaysia atau negara lain yang datang ke negara ini.
Melalui Pota, kuasa penahanan diberikan kepada Lembaga Pencegahan Terrorism, sama seperti mana yang dilaksanakan dalam Akta Pencegahan Jenayah.
Sebelum ini, Peguam PKR Latheefa Koya berkata kerajaan tidak perlu undang-undang baharu menangani keganasan kerana sudah wujud Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.
Ketua Jawatan Kuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Andrew Khoo juga berkata negara ini sudah mempunyai undang-undang yang membolehkan kerajaan menyekat seseorang meninggalkan negara bagi menyertai kumpulan pengganas, cuma ia tidak digunakan.
Zahid berkata, tindakan Agong menyentuh Pota dalam titah baginda menunjukkan keprihatinan beliau dalam soal keselamatan negara.
Beliau berkata, penggubalan akta tersebut ditentukan satu panel dan bukannya menteri itu sendiri.
“Mereka yang tidak berpuas hati boleh kritik, tetapi kerajaan akan buat apa yang perlu bagi memastikan keselamatan negara dijaga,” katanya.
26 Februari tahun lalu, persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan IS’ dengan jaminan kerajaan undang-undang baharu bagi menangani kegiatan kumpulan itu akan memberi penekanan terhadap aspek pencegahan dan pembanterasan
Bagaimanapun, ia mencetuskan bantahan apabila peruntukan akta tersebut dikatakan menyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). – 9 Mac, 2015.